B.U.N.T.U.
Sajak nukilan Azuan Ahmad
Fikrah manusia itu berfikir
Inginkan akal namun tak hadir
Kerna hembusan kealpaan datang menyapa
Ilham walaupun sedetik tak kunjung tiba
Raut durja mula berkerut
Anak mata liar dilontar ke langit ilmu lalu hanyut
Natijahnya, tanda tanya menjadi penyudah sebut
Buntu itu bererti:
Umpama langkah diorak ke jalan mati
Nescaya ia akan terhenti
Teraba-raba dalam dzulmat sesudah senja
Untuk mendapatkan hidayat yang diberi kepada yang terpilih sahaja
Tika buntu ditebas, dicantas, ditawan
Itulah masanya kembara menjelajah rimba pengetahuan
Apa yang sempat, pasti direntapi
Diolah, diulit, disemai, ditampi
Agar nukilan minda menjadi seni yang rapi
Ilham itu harganya tinggi
Laksana emas, bahkan lebih lagi
Habis susutnya, tanpa segan dan kesal, ia pasti pergi
Apa yang asalnya lahir dari yang sejenak, hari ini dirai sehayat
Maka, doalah supaya tak kembali buntu dan sesat.
(Footnote: This is actually an acrostic poem, if you haven't noticed)
No comments:
Post a Comment